Wednesday, September 2, 2009

Prinsip Asas Perubatan Islam

Asas perubatan Islam terbahagi kepada dua iaitu penjagaan diri dan rawatan. Penjagaan diri adalah lebih baik daripada merawatnya. Ini kerana penjagaan diri membolehkan seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada kebinasaan. Kebinasaan ini termasuklah dari segi pemakanan yang boleh memudaratkatkan diri. Ini amat bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 41 yang menyuruh orang-orang beriman itu makan dan minum akan tetapi melarang daripada mengambilnya berlebihan.
Shamsuddin Muhammad membahagikan keperluan pada makanan kepada tiga tahap. Tahap yang pertama ialah tahap semata-mata untuk keperluan manakala tahap yang kedua ialah tahap mencukupi dan tahap yang ketiga ialah tahap berlebihan. Rasulullah pernah memberitahu bahawa makanan yang dimakan cukuplah sekadar mencukupi dan tidak berlebihan atau dengan erti kata lain makananan ini mencukupi dengan suapan kecil yang dapat menguatkan tulang belakang ataupun makan yang memenuhi satu pertiga ruang perut, manakala satu pertiga untuk minuman dan yang selebihnya untuk bernafas.
Kaedah yang disuruh oleh baginda merupakan kaedah yang terbaik untuk kesihatan badan kerana perut merupakan tumpuan penyakit. Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada para hambanya. Akan tetapi, nikmat ini sering diabaikan dan tidak diambil berat oleh para hambanya.

Kebersihan
Selain daripada bersifat sederhana dalam pengambilan makanan, kebersihan juga merupakan salah satu elemen penting yang perlu kepada kesihatan. Antaranya termasuklah kebersihan dari segi makanan, minuman dan tempat tinggal. Kebersihan merupakan faktor utama bagi kesihatan luaran dan dalaman. Islam menitik beratkan soal kebersihan sehingga terdapat hadis rasulullah mengatakan bahawa kebersihan itu adalah separuh daripada iman. Selain itu juga, Allah juga menegaskan setiap hambanya mesti berwudu’ yakni membersihkan muka, tangan dan menyapu kepala dan kaki (al-Maidah:7). Kebersihan juga perlu dijaga pada tubuh badan, tempat solat dan pakaian kerana amalan seperti ini membawa kepada kesihatan badan dan roh.

No comments:

Post a Comment