Monday, October 19, 2009

MURTAD

PENGERTIAN MURTAD

Menurut Pengertian Bahasa
Murtad menurut bahasa arab berasal daripada perkataan riddah. Dari segi bahasa, riddah bermakna kembali daripada sesuatu yang selainnya.

Menurut Pengertian Syara’

Menurut Imam al- Husni, murtad bermaksud keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam. Mereka ini merasakan bahawa Islam suatu agama yang mengongkong umatnya daripada merasakan nikmat yang ada di dunia ini.
Menurut Al-Sheikh Abd al-Qadir Awdah, murtad bermaksud meninggalkan Agama Islam dan keluar daripadanya (Islam) setelah mengganutnya.
Manakala Sayid Sabiq mendefinisikan murtad iaitu kembali daripada Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa ada paksaan dari orang lain sama ada lelaki atau perempuan.
Menurut Tengku Iskandar, murtad bermaksud keluar daripada Islam sama ada melalui perbuatan, perkataan atau niat. Orang yang melakukan demikian adalah kafir.
Doktor Wahbah al Zuhayli berpendapat mengatakan murtad ialah seseorang yang berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur,sama ada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang mengkafirkan sama ada berbentuk gurauan atau penentangan atau i’tiqad.
Dalam soal beragama, kita tidak boleh mempermain-mainkannya kerana itu berhubung dengan akidah. Dalam Akidah Islamiah, walaupun seseorang itu bergurau atau berlakon keluar daripada agama Islam,ia dikira sudah kafir.
Menurut al Zuhri dalam Syarah Matan al Minhaj Li al Iman Syarifuddin manyatakan sesuatu I’tiqad perkataan atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang Islam yang mukallaf menyebabkan seseorang itu tertukar daripada agama Islam.
Jumhur ulama’ menyatakan pengertian Riddah(murtad) iaitu keluar daripada agama Islam atau seseorang muslim yang menjadi kafir atau memutuskan hubungannya dengan Islam.
Adapun seandainya didapati ada kesamaran pada akidah seseorang muslim pada perkataan, dan perbuatannya untuk menetapkan dia kafir atau tidak,maka ulama’ sepakat menyatakan bahawa muslim tersebut masih belum gugur keislamannya.Hal ini dapat dilihat pada sabda nabi SAW:

امرت ان اقاتل الناس حتى يقولوا لا اله الا الله فاءذا قالوا لااله الله عصموا منى دماءهم وامواهم الا بحقها وحسابهم على الله
Maksud:Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka berkata “tidak ada tuhan melainkan Allah”apabila diucap “tidak ada tuhan melainkan Allah”maka darah dan harta mereka terpelihara kecuali dengan haknya dan Allah yang memberi ganjaran.

Oleh kerana itu, ditegah sama sekali menghukum seseorang muslim dengan perkataan kafir disebabkan Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu sebagai petanda seseorang itu telah menjadi kafir. Menghukum orang lain dengan ungkapan kafir adalah ditegah sama sekali oleh syariat Islam kecuali sekiranya ia jelas melakukan atau melafaz yang boleh merosakkan akidah.Sabda Nabi S.A.W:
اذا كفر الرجل اخاه فقد باء بها أحدهما

Maksud: Apabila mengkafirkan seseorang (muslim) itu akan saudaranya, maka akan terjatuh ke atas salah seorang antara mereka.

No comments:

Post a Comment